Thursday, August 19, 2010


PKG Rawang mengucapkan Selamat menyambut Bulan merdeka kepada semua...

Malam Merdeka

Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman
Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.
Upacara Pengisytiharan
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.